KUALA TERENGGANU: Tiga individu termasuk seorang wanita direman empat hari bermula hari ini hingga Jumaat bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu terhadap Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Dokumen tuntutan itu melibatkan jumlah lebih RM256,296 dikemukakan kepada Perkeso di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana 2.0).

Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Norina Maludin setelah mendapat permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Dua suspek yang ditahan berjawatan pengurus, masing-masing seorang lelaki berusia 33 tahun dan wanita berusia 37 tahun, yang menjalankan perkhidmatan sumber kemahiran, manakala seorang lagi suspek adalah pemilik syarikat komputer berusia 29 tahun (lelaki).

Sumber dilaporkan berkata kesemua suspek ditahan kira-kira 3 petang semalam di Kompleks SPRM Terengganu, ketika diminta hadir untuk memberikan keterangan.

"Syarikat yang menjalankan perkhidmatan sumber kemahiran itu dipercayai telah mengemukakan tuntutan palsu kira-kira lebih RM170,000 pada tahun 2020 hingga 2021.

"Sementara itu syarikat komputer itu pula mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM85,000 pada tahun 2021 hingga 2022," kata sumber itu lagi.

-- BERNAMA